twisted mind.



Abil, si alter ego. Sudah di ambang 21. Jaga-jaga, konten laman ini mungkin tidak seindah yang kau sangka.

Thursday, August 17, 2017

rumit

Hidup ini sudah cukup rumit
Namun masih saja ada lagi yang merunsingkan 

Aku menghajatkan ikatan yang mudah
Tidak perlu pemikiran
Tidak perlu usaha yang sering dipersoal sama ada cukup atau tidak
Hanya tulus perasaan 
Tanpa ada meminta balasan atau dipinta balasan

Yang aku bicara ini mungkin tidak mudah 
Manusia itu sering saja merumitkan kesemuanya
Walhal perasaan itu mudah
Jika sayang, maka sebutlah
Maka tunjuklah

Tapi jika sudah tunjuk
Sering saja dipersoal adakah cukup

Aku kemudiannya makin lesu
Kian malas untuk ambil pusing 
Kerna dunia aku sudah cukup rumit.

Wednesday, December 21, 2016

baik-baik saja

Ke hadapan Nabila yang aku doa agar sentiasa dibawah lindungan Ilahi, 

Tatkala kau membaca ini besar kemungkinan kau masih dibangku sekolah menengah, berperang bersama hati goyah yang sering mencacatkan rencana kau sendiri. 

Untuk aku yang muda, yang masih manis dan tidak berapa mengerti soal korupsi dunia, tidak mengapa. Tidak mengapa untuk jadi naif. Tidak mengapa untuk kekal menulis soal resah kamu yang kamu sendiri tidak pasti solusinya. Tidak mengapa untuk tidak didengari, tiada salah untuk berdiam diri. 

Tidak mengapa, Nabila. Menangis jika perlu. Hati yang sedikit retak perlu sedikit penawar. Tiada kata putus pada penawar untuk hati yang robek tapi tidak salah mencuba. Cuba satu persatu penawar yang sedia ada. 

Ke hadapan aku yang setahun jagung, 

Tak usah kamu gelisah soal masa kelak. Aku masih mampu menangani. Makin lama, kamu akan makin dewasa. Tidak perlu gelojoh dan kemaruk mengejar yang tidak perlu dikejar. Dia akan datang menghampiri sendiri. 

Ke hadapan aku yang dulu dihimpit, 

Iya, mereka tinggalkan kita berdua. Tak mengapa. Kita meninggalkan dan ditinggalkan. Itu lazim. Terkadang itu, tidak semua yang hadir akan terus hadir, ada yang hanya menyinggah untuk mengajar. Kebanyakannya menyinggah atas dasar sebuah fasa dalam satu makalah hidup kita. Terluka sedikit itu perkara biasa. Biarkan mereka berlalu pergi. Biarkan juga kaki kamu berlalu pergi dari hidup sesetengah mereka yang kau sudah singgah. Jika sudah tersurat begitu, jika sudah tersurat untuk kau berlalu pergi dan mereka meninggalkan, biarkan sahaja. 

Ke hadapan aku yang dulunya lebih egois, 

Aku faham. Kamu cuba egois untuk menutup luka yang perlu ditutup. Tidak mengapa. Masa juga boleh mengubati luka lama. Atau mungkin sebuah penutup yang kau perlukan. Penutup alkisah. 

Aku faham, mahu berkongsi rawan dan girang dengan khalifah-khalifah Tuhan ini payah, tidak semua memahami. Tidak mengapa untuk tidak berkongsi, langsung kalau kau mahu diam. Tidak mengapa. Tidak semua mahu benar-benar mengerti. Kau sebenarnya bukan egois, cuma kau sukar sedikit untuk difahami. Jadi kau lebih gemar mendiamkan diri. Itu lebih baik. 

Kata akhir dari aku, 

Kau akan baik-baik saja. Aku janji. Kita akan sentiasa baik-baik saja. 

Wednesday, December 7, 2016

pasca 2016

Sudah menjangkau Disember, tapi aku masih tidak tahu hala tuju aku. Umur sudah masuk 20 tapi masih termangu-mangu dengan masa depan ni perkara normal ke? Mungkin normal. Kita anggap saja normal.

"Tapi kau bukan sedang belajar?"
Iya tahu, tapi apa yang aku belajar ni boleh jadi periuk nasi aku ke kalau aku setakat di purata bila dibandingkan dengan yang lain? 


Terlalu awal untuk fikir soal ini tapi apa salahnya.

"Ada rezeki itu, adalah hak kau."
Iya, ada rezeki. Rezeki di mana-mana. 

Kebergantungan pada Tuhan itu satu perkara yang bagi aku agak sentiasa diremehkan. Tapi mustahak, Dalam hidup, kita harus bergantung pada sesuatu zat. Bukan khalifahNya yang pasti. Mana mungkin kau mahu bergantung pada makhluk yang seringkali melupakan Sang Pencipta. Kalau Si Pencipta pun dia lupa, kau apatah lagi? 

Jadi, bergantunglah pada Yang Esa. Hanya Dia saja yang dapat merubah apa yang mustahil untuk diubah. Dia sudah cipta kau yang sempurna apa ada, setakat secubit takdir, sekelap cuma saja dia boleh tukar. Apatah lagi rezeki.

Jujur, aku agak merasa jengkel pada sesetengah kenyataan hamba-hambaNya ini. Antaranya:
"Sewaktu ada kertas peperiksaan, baru nak bersujud berjumpa Tuhan?"

Aduhai. Daripada sang manusia hina-dina ni langsung tak bersujud di sajadah, bukankah lagi bagus begitu? Sekurang-kurangnya dia ingat juga Tuhan. Dari kau yang asyik nak menghakimi lagak Tuhan? Apa kau ingat dia nak bersujud pada kau? 

Menegur itu boleh, tapi lagak tarbiah sentap macam kau lahir-lahir saja sudah maksum itu buat aku geli. Kebergantungan dia pada Yang Satu, jadi soal dia berjumpa Tuhan amat jarang sekali itu antara dia dengan Tuhan. Bukan antara dia dengan kau, mahupun aku. 

Moga Tuhan berikan rezeki kita di mana saja kita berada. Di tanah Malaysia mahupun di tanah asing. Dan juga, moga Tuhan sentiasa bersama anda meski tiada makhlukNya di samping anda.