twisted mind.



Abil, si alter ego.

Wednesday, December 21, 2016

baik-baik saja

Ke hadapan Nabila yang aku doa agar sentiasa dibawah lindungan Ilahi, 

Tatkala kau membaca ini besar kemungkinan kau masih dibangku sekolah menengah, berperang bersama hati goyah yang sering mencacatkan rencana kau sendiri. 

Untuk aku yang muda, yang masih manis dan tidak berapa mengerti soal korupsi dunia, tidak mengapa. Tidak mengapa untuk jadi naif. Tidak mengapa untuk kekal menulis soal resah kamu yang kamu sendiri tidak pasti solusinya. Tidak mengapa untuk tidak didengari, tiada salah untuk berdiam diri. 

Tidak mengapa, Nabila. Menangis jika perlu. Hati yang sedikit retak perlu sedikit penawar. Tiada kata putus pada penawar untuk hati yang robek tapi tidak salah mencuba. Cuba satu persatu penawar yang sedia ada. 

Ke hadapan aku yang setahun jagung, 

Tak usah kamu gelisah soal masa kelak. Aku masih mampu menangani. Makin lama, kamu akan makin dewasa. Tidak perlu gelojoh dan kemaruk mengejar yang tidak perlu dikejar. Dia akan datang menghampiri sendiri. 

Ke hadapan aku yang dulu dihimpit, 

Iya, mereka tinggalkan kita berdua. Tak mengapa. Kita meninggalkan dan ditinggalkan. Itu lazim. Terkadang itu, tidak semua yang hadir akan terus hadir, ada yang hanya menyinggah untuk mengajar. Kebanyakannya menyinggah atas dasar sebuah fasa dalam satu makalah hidup kita. Terluka sedikit itu perkara biasa. Biarkan mereka berlalu pergi. Biarkan juga kaki kamu berlalu pergi dari hidup sesetengah mereka yang kau sudah singgah. Jika sudah tersurat begitu, jika sudah tersurat untuk kau berlalu pergi dan mereka meninggalkan, biarkan sahaja. 

Ke hadapan aku yang dulunya lebih egois, 

Aku faham. Kamu cuba egois untuk menutup luka yang perlu ditutup. Tidak mengapa. Masa juga boleh mengubati luka lama. Atau mungkin sebuah penutup yang kau perlukan. Penutup alkisah. 

Aku faham, mahu berkongsi rawan dan girang dengan khalifah-khalifah Tuhan ini payah, tidak semua memahami. Tidak mengapa untuk tidak berkongsi, langsung kalau kau mahu diam. Tidak mengapa. Tidak semua mahu benar-benar mengerti. Kau sebenarnya bukan egois, cuma kau sukar sedikit untuk difahami. Jadi kau lebih gemar mendiamkan diri. Itu lebih baik. 

Kata akhir dari aku, 

Kau akan baik-baik saja. Aku janji. Kita akan sentiasa baik-baik saja.